SENARAI SOALAN




PARLIMEN KESEBELAS PENGGAL KETIGA MESYUARAT KEDUA

Soalan
Tindakan
YB Che Puan Sri Kelana D’Raja Datin Nik Azizah Hj. Nik Yahya minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan berapa jumlah Rumah Nur dalam memberi perlindungan wanita yang menjadi mangsa penyeludupan manusia di negara ini dan berapa banyak yang akan dibina sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
YB Dr. Haji Mohd. Puad bin Zarkashi minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan apakah faktor yang melambatkan pelaksanaan dasar cuti bersalin (maternity) selama 90 hari. Apakah implikasi terhadap ekonomi negara jika dasar ini dilaksanakan.
YB Che Puan Sri Kelana D’raja Datin Nik Azizah Binti Nik Yahya minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan jumlah wanita yang berkahwin telah bercerai dengan pasangan pada tahun 2002, 2003, 2004, 2005 dan enam bulan pertama pada tahun 2006 dan apakah bentuk program yang boleh membantu golongan wanita yang bercerai atau dikenali sebagai Ibu Tunggal terutama mereka yang tidak berpendidikan dan tidak bekerja.
YB Dato’ Hajah Saripah Aminah binti Haji Syed Mohamed minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan perancangan Kementerian untuk membantu ibu-ibu muda di bandar raya yang dikatakan mengalami tekanan (stress) yang tinggi berpunca daripada tuntutan kerjaya dan tiadanya prasarana sokongan.
YB Puan Hajah Siti Rokiah binti Mohd. Zabidin minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan berapakah peratus pembuat dasar yang terdiri daripada wanita yang telah dicapai setakat ini.
YB Datuk Armani binti Haji Mahiruddin minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan apakah langkah-langkah dan usaha Kementerian untuk menarik atau mendorong sektor swasta untuk mencontohi langkah Kerajaan dalam memberikan peruntukan cuti bersalin 60 hari selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kesamaan layanan undang-undang.
YB Dato’ Hajah Saripah Aminah binti Haji Syed Mohamed minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan sama ada Kementerian bercadang untuk membuat satu ketetapan melalui undang-undang agar wanita diberi peluang mewakili suara komuniti seperti yang dilakukan oleh Korea melalui ”The Political Party Act 2004” yang telah memaktubkan peruntukan di mana pencalonan dua orang wanita di dalam pilihanraya setiap kawasan adalah wajib.
YB Datin Paduka Nor Hayati Binti Tan Sri Dato’ Seri Onn minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan perancangan dan pelan tindakan Kementerian memajukan prasarana kemudahan OKU yang bertaraf cemerlang, gemilang dan terbilang agar setanding dengan negara maju.
YB Datuk Wira Syed Ali bin Tan Sri Abbas Alhabshee minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan:- (a) apakah bentuk bantuan, penyediaan kemudahan dan pertolongan yang telah diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada lebih 150,000 orang kurang upaya (OKU) sepanjang tahun 2005; dan (b) apakah Kerajaan bercadang untuk menaikkan Elaun Pekerja Kurang Upaya yang sekarang ini diperuntukkan sebanyak RM200 sebulan, sejajar dengan peningkatan kos keperluan harian berikutan kenaikan harga petrol.
YB Datin Paduka Nor Hayati binti Tan Sri Dato’ Seri Onn minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan (selain daripada program-program ibu tunggal) pelan tindakan dan program untuk memperkasakan suri-suri rumah tangga agar bermindakan kelas pertama kerana kumpulan ini turut berperanan penting dalam membentuk sahsiah anak-anak yang bakal menjadi modal insan negara.
YB Puan Hajah Sharifah Azizah binti Dato’ Syed Zain minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan kategori dan taburan ibu tunggal mengikut negeri serta kelayakan mengikut tafsiran ibu tunggal yang memerlukan bantuan. Apakah perancangan dan jenis program bantuan untuk anak-anak kepada ibu tunggal yang diusahakan oleh Kerajaan.
YB Puan Siw Chun a/p Eam minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan apakah perancangan dan langkah-langkah Kementerian dalam RMK-9 bagi memperkukuhkan institusi kekeluargaan dalam usaha menjadikan ia benteng paling teguh dalam menghadapi cabaran sosial masa kini dan mampu membantu menjana kekuatan negara di masa akan datang.
YB Datuk Hajah Azizah binti Abd. Samad minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan tentang usaha mewujudkan institusi keluarga yang mantap seperti terdapat dalam Pelan Integriti Nasional. Apakah program-program spesifik yang dirancang oleh Kementerian untuk mencapai sasaran ini. Dulu ada kempen ’Rumahku Syurgaku’, sila laporkan juga setakat mana kejayaannya.
YB Datuk Armani binti Haji Mahiruddin minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan mengenai pesakit mental dan peminta sedekah yang berkeliaran di bandar raya. Apakah langkah-langkah positif untuk menempatkan golongan tersebut di tempat yang sesuai agar tidak mencacatkan pemandangan mata terutama pada para pelancong yang datang berkunjung ke negara ini.
YB Datuk Chew Vun Ming minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan kita sering dipuji oleh masyarakat antarabangsa di atas keprihatinan kita di dalam membantu mangsa-mangsa bencana alam di negara jiran. Namun masih terdapat rakyat di negara ini yang masih hidup dalam kedaifan, apakah tindakan yang diambil oleh Kerajaan di dalam membantu golongan yang daif ini.
YB Che Puan Sri Kelana D’raja Datin Nik Azizah binti Nik Yahya minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan berapa jumlah Badan Bukan Kerajaan (NGO) wanita di negara ini dan sejauh mana peranan mereka dalam membantu masyarakat bagi menangani masalah keganasan rumahtangga pada tahun 2003 hingga 2005 dan berapa kes penyelesaian bagi keganasan rumahtangga pada tahun 2003 hingga 2005.
YB Dato’ Sri Empiang Jabu minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan bilangan kaum lelaki yang memainkan peranan mengurus rumah tangga ataupun ‘house-husband’, di Malaysia dan adakah Kerajaan akan menggalakkan peranan ini di antara kaum lelaki.